Gambar ihsan: owner
Sudah lebih 3 tahun kami buka gerai memanah ini di tempat awam. Pelbagai pengalaman dan bermacam ragam orang sudah kami jumpa. Daripada budak-budak, yang dewasa, pelbagai latar belakang pekerjaannya semua ada. Permainan memanah ini boleh dikatakan hampir tiada had umur dan fizikal. Tidak kira yang sempurna atau OKU semua boleh cuba sertainya. Antara objektif kami buka bukan sekadar sumber rezeki tetapi juga memenuhi objektif mendekatkan orang awam kepada sukan sunnah ini.
Adalah menjadi kebiasaan bila dengar orang kata 'tak pandai main' sedangkan kalangan mereka yang sudah di tahap 'pro' pun bermula sebagai amatur atau 'tidak pro'. Maka di sinilah peluang dan ruang untuk kami masuk dan tunjukkan serba sedikit tentangnya sehingga mereka juga boleh mencuba. Ada yang merasakan ia susah, ada pula yang merasa ia senang, tetapi itu adalah biasa. Bagi yang tidak biasa, kami tiada masalah untuk tunjukkan bagaimana untuk lakukannya. Sedikit demo juga boleh membantu sebagai galakan.
Sedikit yang luar daripada biasa bila ada di kalangan pengunjung yang mencuba sukan ini datangnya daripada kalangan OKU. Bila sebut OKU pula, ia banyai kategori. Yang biasa datang kepada kami dari kategori autism, mungkin jenis yang ringan sahaja (mild). Sekiranya dari jenis berat, maka ia sukar dikawal dan dibantu untuk fokus kerana sesi ulangan secara kerap akan menyebabkan mereka ini cepat bosan dan boleh memberontak. Mungkin.
Pernah satu kumpulan pemanah lain melatih ahli dari persatuan orang buta. Ia menjadi sebutan dan beritanya pernah disiarkan dalam akhbar di sini tahun lepas. Tidak pasti bagaimana mereka lakukan untuk membantu ahli tersebut menuju panahan pada sasaran. 🤔
Minggu lepas, sewaktu membuka gerai, buat kali pertama kami dikunjungi seorang budak bersama ibu dan kakaknya. Katanya budak itu dari jenis cacat pendengaran. Oleh itu ibu dan kakaknya menjadi perantara bahasa isyarat membantu saya bagi menyampaikan arahan untuk melakukan panahan.
Bila arahan itu sampai dan pengunjung dapat melakukan dengan baik, bagi kami ia adalah satu kelegaan. Mungkin ia sedikit tetapi harapnya adalah manfaatnya.
No comments:
Post a Comment