Kredit kepada: owner
Gambar ihsan: owner
Melihat kepada slip urusan bank hari ini membuatkan saya teringat semula kisah di sebalik jumlah yang dipaparkan. Kisah beberapa tahun sebelum ini ketika memulakan bisnes rakan kongsi dan satu lagi ketika membuat urusniaga bank until urusan akaun CDS.
Pada peringkat awal memulakan bisnes yang diusahakan hingga sekarang iaitu memanah, kami bermula ketika mengambil alih buat sementara bisnes seorang rakan lain yang akan ke luar negara selama 4 bulan bersama jemaah tabligh. Ketika itu diapun mengusahakan kedai barangan memanah. Maka sebelum bertolak, dia serahkan kunci kedai, kad bank dan beberapa maklumat pembekal untuk memudahkan kerja kami sepanjang ketiadaannya nanti.
Sepanjang 4 bulan itu, ia bermula dengan agak perlahan namun lancar cuma cabarannya yang paling nyata adalah baki dalam akaun yang sangat sedikit dan ada beberapa bulan tunggakan bayaran sewa kedai.
Saya ingat lagi, rakan kongsi yang ketika itu berada di kedai menghubungi saya memberitahu dapat surat daripada pihak urusan pasaraya tempat kedai ini beroperasi. Surat itu memohon tunggakan itu dibayar seberapa segera. Jadi esoknya, saya pun ke pejabat dan menyelesaikan bayaran berkenaan.
Memikirkan yang tuan kedai akan balik tidak lama lagi, rakan kongsi pun mula fikirkan idea daripada apa yang saya pernah sebut mengenai penubuhan sebuah syarikat kecil untuk urusan memanah. Daripada perbincangan lanjut, kami pilih dia menjadi ketua/bos memandangkan dia pun ada banyak pengalaman dalam menguruskan bisnes. Sebaik sahaja tuan kedai balik, kami pun sama-sama mula gerakkan idea syarikat baru ini.
Untuk memulakannya, kami berbincang dahulu tentang berapa banyak barang dan duit modal yang sudah ada di tangan. Pening juga pada mulanya sebab perlu teliti daripada beberapa rekod lain yang ada. Akhirnya kami dapati jumlah yang memang kepunyaan kami hanyalah RM20. Dari situlah catatan pertama dalam buku aliran tunai kami bermula. Andai ditanya oleh mana-mana rakan mengenai hal ini, mesti ramai yang terkejut bila diberitahu jumlahnya.
Cabaran getir bermula selepas acara Fastaqim di Pantai Tok Jembal, Gong Badak. Acara selama 2 hari dengan pelbagai pengisian itu dihadiri sekitar 200,000 orang dan telah mendapat liputan meluas di media cetak dan elektronik. Di kesempatan acara inilah kami bertemu beberapa orang dan meminta pendapat akan hal bisnes baru ini. Ada yang kata suruh belajar lagi tetapi kami persoalkan untuk apa dan sampai bila? Kalau macam itulah, sampai bila-bila pun takkan bermula. Jadi kami minta pula pendapat seorang lagi.
Katanya teruskan sahaja, usah dipedulikan orang yang berikan pendapat negatif, sebab bisnes memanah ini tidak sama dengan bisnes makanan. Beberapa hari kemudian, kami mulakan langkah besar menyertai satu karnival lain selama 6 hari. Sekali lagi dapat tempias, ada yang suruh tidak perlu ikut sebab komisen yang diminta oleh penganjur sebanyak 30% itu agak tinggi. Kali ini keputusan kami, diteruskan juga dan tunggu sendiri hasil akhirnya.
Setelah selesai acara 6 hari itu, kami berjaya buktikan kata-kata mereka yang tidak mahu itu sebagai tersilap. Kutipan selama 6 hari acara itu yang berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam sangatlah memberangsangkan melebihi RM3,000 sekaligus membuatkan aliran tunai kami mulai stabil. Alhamdulillah ...
Cerita kedua pula berlaku di bank pada baru-baru ini. Asalnya mahu masukkan RM40 sekaligus ke dalam mesin, namun menjadi masalah pula bila mesin 'tendang' semula not duit sebab keadaannya buruk. Jadi saya pun masukkan dahulu RM20 dan baki lagi kemudian. Sebaik selesai saya dapatlah 2 resit berlainan masing-masing bertulis rekod RM20 dan segera hantar mesej WhatsApp pada remiser untuk makluman.
Selang beberapa hari, diberitahu salah satu resit itu 'ditendang'. Jadi saya ke bank semula dan diberitahu untuk hubungi pihak HQ. Yang jadi tidak puas hati bila mesin operator yang menjawab dan bukannya pegawai bertugas. Nasiblah bukan RM20,000 kalau tidak .... 🤣🤣🤣
No comments:
Post a Comment